Melayu Islam: Terpisahkah?
Dilema Melayu Islam...
satu prejudis atau kenyataan?
Satu realiti atau ilusi?
Mari kita bicarakannya lewat puisi
Berwacana di persada kata nan indah
Mengungkai masalah di sulaman madah
Agar bahangnya tidak begitu menyerlah
Agar dapat segalanya direnungi...
tanpa emosi berapi-api!
Pertama mari kita fikirkan...
Agama kita sama, syahadah kita serupa
Tapi mengapa mesti berpecah?
Kedua mari kita renungkan...
Bangsa kita sama, darah kita serupa
Tapi mengapa mesti bertelagah?
Darah dan syahadah boleh terpisah?
Justeru sepatutnya dengan keduanya
Lebih mudah menyatukan kita
Kerana agama dan bangsa kita sama
Akidah kita Islam, kabilah kita Melayu...
Tapi kenapa sukar benar untuk bersatu?
Dalam realitinya sungguh berbeza
Agama didakwa punca sengketa
Cintakan Islam telah dipolitikkan
Kononnya demi kepentingan kuasa dan kedudukan...
Islam disinonimkan dengan parti
Wajarkah begitu?
Cintakan bangsa turut dipersalah
Kasihkan watan dituduh assabiah
Melayu dan Islam bagai bertentangan
Kedua-duanya saling berkonflik
Islam menggugat semangat patriotik
Benarkah begitu?
Cintakan agama atau bangsa?
Seolah-olah satu dilema
Satu ke timur satu ke barat
Tak mungkin bersatu dalam muafakat
Benarkah itu satu hakikat
Atau hanya satu muslihat?
Lain tersirat lain tersurat?
Cubalah kita ungkai segala yang kusut
Berbicara secara tulus dan telus
Merujuk ke dasar, menyelam ke akar
Putuskan rantai kepartian...
Yang membelenggu mata dan fikiran
Putuskan sentimen ketaksuban...
Yang mengaburi fakta dan kenyataan
Marilah sama-sama bercerminkan visi bangsa
Dari jurus misi agama!
Islam agama yang menyatukan
Justeru itulah perintah Al-Jami'(Yang Maha Menyatukan)
Apabila manusia sama-sama beriman
Maka bertautlah hati, terbentuklah persaudaraan
Iman dan persaudaraan-lazim berlaziman
Yang paling kuat tauhidnya kepada Yang Esa
Dialah yang paling mesra bersaudara
Bila kukuh 'hablumminallah' yang vertikal
Akan teguhlah 'hablumminannas' yang horizontal
Itulah silaturrahim-'hubungan' intim atas nama Al-Rahim
Bila beriman ertinya yakin
Bila yakin ertinya terikat...
Terikat dengan syariat-peraturan dan hukum Tuhan
Yang wajib ditegakkan
Yang haram ditinggalkan
Yang sunat jika mampu dilaksanakan
Yang makruh jika mampu ditinggalkan
Yang harus-terpulang,
Bebas untuk membuat pilihan
Inilah 5 hukum daripada Allah
Yang bila semua meyakini dan mengamalkan
Secara automatik terbentuklah perpaduan
Inilah firman Tuhan:
"Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah"
Melayu juga faktor penyatu
Kerana ikatan darah itulah fitrah...
Cintakan bangsa adalah naluri hati
Yang tumbuh secara tabii
-jika bangsa terjajah, jiwa terseksa...
Bangunlah semangat merdeka dengan darah dan air mata
-jika bangsa mundur, hati terdera...
Bangunlah daya juang dengan minda dan usaha
Ketuanan Melayu di bidang politik dan ekonomi
Adalah nyawa, citra dan identiti
Bangsa yang lemah, akan kalah
Bangsa yang mundur, akan terkubur
Bangsa yang kuat, akan berdaulat
Yang miskin dibela oleh agenda ekonomi dengan DEB
Yang jahil diberi pelajaran dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan
Kedua-duanya dilaksanakan dengan kuasa politik!
...selagi Melayu menguasai pemerintahan
...selagi "Hak istimewa Melayu" maktub dalam perlembagaan
...selagi itu kedua-duanya dikekalkan
Tapi selama mana Melayu dapat menguasai pemerintahan?
Selama mana perlembagaan dapat mempertahankan?
Dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan...
Jika jiwa Melayu sendiri melayu, kering dan berguguran?
Islam dan Melayu boleh diserasikan
Yang satu FITRAH, yang satu HIDAYAH
Cinta bangsa dan agama mampu dipertautkan
Bila membela Melayu yang miskin...
Itu tanggungjawab bangsa dan itu juga tuntutan agama
Membantu Melayu yang bermasalah...
Itu adalah fitrah kabilah dan itu juga jihad fisabilillah
Lalu...satukanlah fitrah dengan hidayah!
Agama dan bangsa bukan milik organisasi
Justeru bukan semua Muslim dan Melayu dalam satu parti
Ada yang global, ada yang tribal, dan ada yang individual
"Hubbul Watan minal Iman"
Musuh bangsa dan agama cuma satu-dia yang dikuasai nafsu
Lalu awasilah si hamba nafsu yang punya kepentingan diri...
dalam barisan perjuangan bangsa
dan saf perjuangan agama!
p/s: petikan puisi dari buku Dilema Melayu Islam: Kurang Fikir Atau Kurang Zikir
2 comments:
hmm...Melayu itu beragama islam.. so, xpayah la nk cite byk lg.. elok kita bykkan berzikir dan memikirkan tentang persamaan bukan perbezaan...
http://tomok123.blogspot.com
copy paste yg baik nih..
utk bahan bacaan.. dan penambahan ilmu di dada..
Post a Comment